FOTO : PERAK FC

NIKMAT kemenangan selepas lima perlawanan akhirnya dikecapi Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih selepas anak buahnya mengatasi cabaran Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri sebentar tadi.

Luciano Guaycochea membuka tirai jaringan untuk Perak FC pada minit ke-13 selepas menerima umpanan daripada Shafizi Iqmal.

Begitupun, kegembiraan The Bos Gaurus tidak berkekalan apabila Abu Kamara menyamakan kedudukan m-32. Perak kembali berjaya merobek gawang tuan rumah pada minit ke-80 hasil jaringan awang import Korea Selatan, Seo Seonung yang tidak melepaskan peluang terbaik dengan bantuan gol Luciano Guaycochea.

Keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan untuk memberikan kemenangan ketiga buat Perak dalam saingan liga musim ini.

Berdasarkan rekod, tanggal 28 April adalah kali terakhir skuad Yob meraih tiga mata penuh semasa menewaskan Kelantan FC.

Perak tidak akan terlibat sebarang aksi dalam tempoh 15 hari dan akan bertemu Sri Pahang di tempat lawan pada 30 Julai depan sebelum menghadapi Kedah Darul Aman FC saingan pusingan 16 Piala Malaysia di Ipoh, 3 Ogos 2023.