KETUA Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengingatkan semua pemainnya agar menjaga pemakanan ketika musim perayaan Aidilfitri ini.
Permulaan liga yang lambat menyebakan pramusim menjadi lebih panjang musim ini berbanding biasa.
Dengan Aidilfiti yang menjelma tiba, aksi dan latihan pramusim akan ditangguhkan bagi memberi peluang kepada pemain dan pegawai pasukan untuk kembali ke kampung halaman.
Bagi Yusri, musim perayaan bukanlah bermakna pemain-pemain dapat ‘cheat code‘ untuk makan sesuka hati.
“Betul jika kita makan ketupat dan lemang dengan banyak, berat badan kita akan naik mendadak.
“Jadi saya dah bagi ‘homework‘ kepada pemain-pemain yang akan balik ke kampung halaman nanti supaya mereka mampu kekalkan kecergasan serta menjaga pemakanan.
“Semua orang tahu juadah lemang dan ketupat merupakan juadah orang kita dan saya tak boleh halang mereka daripada tak makan langsung, cumanya mereka kena pandai kawal makan itu sahaja,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Ujar Yusri lagi, sayang jika mereka tidak mengawal pemakanan mereka kerana skuadnya telah berlatih dalam pramusim selama lima minggu.
“Saya berharap para pemain dapat rehat yang mencukupi dan luangkan masa dengan keluarga ketika perayaan dengan sebaiknya supaya mereka kembali nanti dengan motivasi yang tinggi untuk perlawanan-perlawanan persahabatan akan datang,” ujarnya lagi.
Perak FC telah melakukan tiga perlawanan persahabatan dengan mencatat dua kemenangan dan satu seri setakat ini.