JURULATIH Perak FC, Yusri Che Lah menyifatkan kutipan satu mata diperolehi cukup berharga selepas ‘penat’ berdepan pemotongan membayar hutang mata daripada pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Dalam aksi pusingan kedua Liga Premier di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu, The Bos Gaurus (TBG) akhirnya berjaya mendapatkan mata penting selepas mengikat pendahulu semasa, Terengganu FC II tanpa jaringan.
“Susah tahun ni nak dapat mata.. dapat mata bayar hutang, macam kita ni dikejar ah long.
“Sebelum liga sembilan mata (ditolak mata) orang tak nampak kita bayar hutang. Orang nampak tak dapat mata.
“Apapun saya bertanggungjawab dengan keputusan dan saya rasa satu mata lebih berharga kita ada lagi baki enam perlawanan,” katanya secara berseloroh kepada FLASH SUKAN semasa sidang media selepas perlawanan.
Pada masa sama, Yusri akui kekalahan 0-2 TBG di tangan PDRM FC tempoh hari masih menghantui pemainnya untuk menyajikan aksi terbaik atas padang.
“Sesungguhnya perlawanan yang akan datang lebih mencabar pasti pemain saya berjuang untuk capai kemenangan,” ujarnya penuh keyakinan.
Untuk rekod, Perak keluar dari zon tercorot dan memintas Projek FAM-MSN untuk berada di kedudukan kesembilan liga.
Skuad sinonim gelaran Kejor Yop Skor akan berkunjung ke Shah Alam bertemu Selangor FC II pada 26 Julai ini diikuti Kelantan FC (10 Ogos) dan Johor Darul Ta’zim II (13 Ogos).