FOTO : PERAK FC

KEKALAHAN Perak FC 3-0 di tangan Kedah Darul Aman FC semalam menyerlahkan lagi kelemahan pasukan yang dibarisi ramai pemain muda sekali gus kurang pengalaman bersaing di pentas tertinggi Liga Malaysia itu.

Justeru itu, pengendali sementara The Bos Gaurus, Yusri Che Lah akui perlu menanti jendela perpindahan kedua pemain untuk membawa masuk penyerang import bagi mengimbangi kekuatan pasukan.

“Kami hadir ke Alor Setar dengan corak bertahan ditambah ada pemain yang menjalani hukuman penggantungan dan kecederaan. Saya kena maklum dan secara realitinya kekuatan Kedah terlalu jauh dengan kami.

“Sukar bermain dengan barisan pemain sedia ada. Jadi, kita ada penyerang baharu yang diperlukan dan beri kekuatan tambahan selepas jendela pemain dibuka pada Hari Raya Haji nanti. Saya masih menanti jendela perpindahan itu sekiranya masih interim dengan Perak,” katanya selepas perlawanan.

Pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Perak hanya menggunakan kuota Sunday Afolabi sebagai pemain asing dalam kesebelasan utama dan jelas terdapat jurang antara kedua-dua pasukan termasuk ketiadaan Wan Zack Haikal Wan Noor dan Luciano Guaycochea.

“Pasti perlukan import bagi kekuatan pasukan. Ya, ia logik dan perlu imbangi permainan. Insya Allah,” tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN : “Saya bukanlah ahli sihir” – Yusri Che Lah

Namun, Yusri tetap memandang ke depan kerana saingan liga masih berbaki 12 perlawanan dan optimis Perak mampu bangkit dalam aksi selepas ini di Ipoh.

“Ada dua aksi di halaman sendiri dan kami perlu memanfaatkan sebaik mungkin (mendapatkan mata). Mereka mampu tapi ini mungkin ada kalangan pemain kali pertama bermain dalam kesebelasan utama ada juga beberapa pemain banyak kali bermain dalam pemula tapi masih lagi gugup beraksi situasi terkini,” katanya percaya pemain Seladang boleh menangani aspek tekanan 90 minit atas padang.

 

Bekas kapten Perlis itu juga memohon penyokong terus bersabar dan sanggup menanti perubahan bakal dilakukan pengurusan Perak FC.

Katanya lagi, dia turut gusar kerana tidak mampu melakukan yang terbaik untuk memuaskan hati para peminat yang sanggup menghabiskan wang ringgit membeli tiket dan melakukan travel ke stadium tempat lawan.

Perak ketika ini menghuni tangga ke-11 liga setelah mengutip sembilan mata hasil daripada dua kemenangan dan tiga seri.