PELARI pecut senior negara, Zaidatul Husniah Zulkifli membuktikan pemilihannya ke Sukan SEA Kemboja satu pilihan tepat, apabila memenangi pingat emas Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers.
Pelari berusia 30 tahun itu yang mewakili Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menamatkan perlumbaan dengan catatan masa terpantas 11.74 saat (s) pada aksi final di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Dia mengatasi atlet Sabah, Nur Aishah Rofina Aling yang mencatat 12.14s manakala S Komalam yang mewakili Perak ketiga dengan catatan 12.22s.
Menurut Zaidatul, kejohanan kali ini dianggap sebagai pemanas badan buat dirinya sebelum beraksi di Terbuka Filipina yang bermula Selasa ini yang merupakan sebahagian dari persiapan menjelang Sukan Sea Kemboja Mei ini.
“Saya jadikan kejohanan ini sebagai medan mendapatkan ‘feel’ sebelum berlari di Terbuka Filipina.
“Kalau ikutkan keputusan menyertai KL All Comers ini dibuat pada saat akhir atas permintaan jurulatih untuk buat catatan masa sebagai persiapan sebelum ke Filipina,” katanya, ditemui selepas tamat aksi final.
Sementara itu, saingan 100m lelaki menyaksikan atlet Selangor mendominasi kedudukan podium dengan Adam Hakim muncul juara selepas merakam masa terpantas 10.68s.
Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukan Adam, Nabil Alwani yang mencatat masa 10.79s manakala Thaqif Hisham 10.81s.