BEKAS pemain legenda kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan telah dilantik sebagai Ketua Delegasi program “Dare to Dream” yang akan membawa 12 pemain menjalani latihan bersama kejurulatihan pembangunan Wolverhampton Wanderers F.C.

Sebelum ini, FLASH SUKAN juga telah memaklumkan bahawa kesemua pemain yang terpilih ke program tersebut adalah daripada Kejohanan MBSB Bank Championship 2023, termasuk dua pemain UiTM United yang cemerlang dalam aksi Piala Al-Ikhsan musim lalu.

Artikel Berkaitan: Impian 12 pemain MBSB Bank Championship ‘beraksi’ di EPL jadi kenyataan

Delegasi ini akan bertapak di Compton Park, England dari 19 hingga 26 Februari untuk menimba ilmu serta pengalaman bersama kelab Wolves yang beraksi di Liga Perdana Inggeris 2023/24 (EPL).

Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad menyatakan bahawa pemilihan Zainal Abidin untuk mengetuai misi ke England adalah tepat, memandangkan beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai bekas pemain dan juga jurulatih.

“Beliau yang berstatus legenda bola sepak tanah air sudah pasti akan menyuntik semangat kepada para pemain. Beliau juga sebelumnya pernah berkelana di United Kingdom selama enam bulan bersama Cardiff City dalam proses menimba pengalaman sebagai jurulatih.

“Kami mahukan 12 pemain yang terpilih untuk memanfaatkan pengalaman bersama bintang bola sepak ini sepenuhnya sepanjang sesi latihan yang diadakan bermula 10 hingga 12 Februari di Wisma FAM, Petaling Jaya,” ujarnya.

Sementara itu, Zainal Abidin Hassan menekankan bahawa peluang yang diberi kepada pemain-pemain muda ini bukanlah setakat perjalanan biasa, tetapi satu langkah penting bagi pemain untuk meningkatkan mutu permainan mereka.

“Peluang yang anda semua miliki tidak mampu dinilai dengan wang ringgit semata dan tidak pula ditawarkan kepada pemain yang berada di saingan liga lebih tinggi ketika ini.

“Inilah peluang terbaik buat seorang pemain untuk meningkatkan kualiti permainan mereka malah tidak mustahil bakat-bakat mereka akan menarik minat pasukan di luar mahupun dalam negara,” kata beliau.

Artikel Berkaitan: Dua wakil UiTM United terpilih ke England

Terdahulu, FLASH SUKAN telah menemu bual dua wakil daripada UiTM United yang terpilih ke program ‘Dare to Dream’ ini dan telah menyenaraikan baki 10 pemain yang bakal bersama-sama menjalani latihan rasmi bersama pasukan Wolves di England.