BEKAS penyerang sensasi Selangor, Datuk Zainal Abidin Hassan berkongsi sedikit cabaran sebagai seorang jurucakap bola sepak bersama sebuah stesen televisyen swasta pada ketika ini.

Bergelar seorang pengulas, beliau menyifatkan ia bukannya tugas mudah kerana setiap perkataan yang keluar dari mulutnya haruslah bersifat jujur dan tidak berpihak kepada mana-mana pasukan atau pemain.

Justeru, ketelusan dalam memberi pandangan dianggap penting supaya peminat memahami senario sebenar yang berlaku dalam bola sepak negara ketika ini.

“Bagi saya sebagai pundits, mengulas bola sepak adalah suatu pengalaman yang baru. Yang penting saya mencurahkan pengalaman bola sepak kepada peminat bola sepak tanah air.

“Bagi saya kita harus jujur dan ikhlas dalam memberi komen. Ia amat penting untuk peminat dan penonton bola sepak memahami,” kongsinya kepada Flash Sukan.

Mengulas kemampuan JDT yang diibaratkan telah berada pada satu kelas berlainan, beliau  menyeru pasukan lain agar mengambil JDT sebagai pasukan contoh.

Beliau juga berhasrat ingin melihat lebih ramai pemain dari pasukan lain selain JDT  yang mampu menggalas tugas dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Zainal (tengah) bersama Azman Adnan (tetamu pakar astro Area, kiri) , hos Hafizal Hamad (dua kiri), Botak dan Nizaruddin Yusof (kanan)

“Bagi saya memanglah JDT sukar disaingi. Pasukan lain perlu mengambil JDT sebagai contoh. Kita ingin melahirkan lagi ramai pemain kebangsaan.

“Kita ingin bersaing, kita tidak mahu melihat hanya JDT yang berada di atas. Kita juga ingin melihat sekurang-kurangnya ada dua atau tiga pasukan yang mampu menandingi kekuatan JDT,” ujarnya.

Menjelaskan tentang persiapan raya pada tahun ini, beliau mengakui persiapan berlangsung dengan baik dan harmoni.

Ditambah pula dengan situasi Covid-19 yang semakin pulih, kini beliau menyifatkan tiada lagi masalah untuk rakyat pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Raya tahun ini, setiap orang akan meraikan hari yang bahagia ini kerana kita sudah terlepas dari pelbagai gejala seperti Covid dan lain-lain. Jadi, saya akan meraikan hari raya Aidilfitri pada tahun ini dengan suasana yang harmoni.

“Tiada lagi masalah untuk pulang ke kampung halaman. Ia adalah masa terbaik meluangkan perayaan kali ini bersama saudara tercinta,” katanya.