SUSULAN peletakan jawatan Mohd Zaki Sadri sebagai ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Wira Mark Ling melemparkan persoalan kepada bekas jaguh lompat kijang terbabit, apa yang berlaku di Sukan SEA.

Pada Rabu, Flash Sukan melaporkan Zaki meletak jawatan disebabkan kesukarannya bekerjasama dengan pegawai dalam KOM, namun Mark memberi bayangan ada ‘insiden serius’ yang berlaku pada temasya Sukan Sea Kemboja, dipercayai mendorong Zaki mengambil keputusan demikian.

“Zaki diarahkan untuk ke Sukan SEA, jadi apa yang berlaku di Sukan SEA? Apa yang berlaku kepada jurulatih dan atlet ketika di Sukan SEA?

Apa Mohd Zaki Sadri lakukan di Kemboja?

“Pengurus pasukan (Datuk R Annamalai), jurulatih, atlet dan pegawai MSN (Majlis Sukan Negara) semuanya mempunyai maklumat mengenai apa yang berlaku di Sukan SEA. Jadi, anda perlu tanya Zaki apa yang berlaku di Sukan SEA, daripada situ kita boleh tahu mengapa dia meletak jawatan.

“Apa yang berlaku di Sukan SEA adalah kesilapan yang serius dan saya tidak boleh mendedahkannya. Kami tidak mahu memandang perkara ini, tetapi jika Zaki sedia mendedahkannya kepada umum, selepas itu kita akan panggil dia untuk siasatan dilakukan,” kata Mark yang juga Naib Presiden KOM.

Menerusi laporan berita Flash Sukan, Zaki mendakwa, antara faktor dia meletak jawatan disebabkan kesukaran mendapat kepercayaan daripada pegawai dalam KOM termasuk Mark dalam usahanya membawa perubahan dalam skuad olahraga negara.

Apakah prestasi atlet olahraga di Kemboja menjadi pertikaian atau insiden beberapa protes dibuat atlet mengenai keputusan tidak memihak skuad olahraga negara tidak diurus dengan baik?

Zaki Sadri letak jawatan, tak sehaluan dengan Exco KOM

Mengulas mengenai perkara itu, Mark, berkata, Zaki perlu memberi penjelasan dan menceritakan perkara sebenar yang berlaku.

Ketika ditanya mengenai calon pengganti kepada Zaki, Mark memberitahu pihaknya memutuskan untuk tidak lagi menggunakan khidmat ketua jurulatih, sebaliknya akan melantik seorang pengarah teknikal dan calonnya sudah dikenal pasti.

“Saya akan bermesyuarat dengan Datuk Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah MSN) berhubung perkara ini pada Isnin. Jika mendapat persetujuan daripada MSN, saya akan umumkan pengarah teknikal yang baharu selepas mesyuarat itu,” katanya.