ISU kejurulatihan membabitkan atlet lompat, Nor Sarah Adi dianggap selesai selepas jurulatih Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Roslinda Samsu, secara rasmi berpindah ke Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Zaki Sadri berkata, Roslinda yang juga pemegang rekod lompat bergalah, sudah lebih seminggu dipindahkan ke MSN dan mula melatih Sarah.

“Saya rasa kenyataan Sarah yang dipetik media itu sudah agak lama, kerana Roslinda sudah melatihnya lebih seminggu,” kata Zaki.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Sarah bahawa pihak pengurusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menakut-nakutkannya jika terus berguru dengan bekas ketua jurulatih, Manshahar Abdul Jalil, atlet itu akan digugurkan dari program podium, Zaki berkata: “Saya tidak tahu menahu mengenai hal itu kerana saya baru sahaja memegang jawatan ini.

Nor Sarah Adi mahu kekal positif, hadapi cabaran masa hadapan.

“Jika diikutkan, sebagai ketua jurulatih, kemasukan dan pengeluaran atlet podium, saya akan terlibat tetapi larangan ke apa yang berlaku, bukan dalam pengetahuan saya.

“Bagi saya, tiada masalah jika Sarah masih memerlukan nasihat daripada jurulatih lama  dan saya rasa tiada siapa melarangnya. Mungkin apa yang dia (Sarah) dengar diproses mengikut persepsi dan interpretasi sendiri,” katanya.

Menurutnya, pertukaran jurulatih adalah perkara biasa kepada atlet malah peralihan jurulatih daripada Manshahar kepada Roslinda tidak seharusnya menjadi masalah buat Sarah kerana Roslinda, sebelum ini turut dilatih jurulatih yang sama.

Mengulas mengenai prestasi dan peluang Sarah di Kemboja, Zaki berkata, atlet lompat bergalah negara itu mempamerkan prestasi yang baik dan ada peluang merangkul pingat di Phnom Penh.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Zaki Sadri mahu Nor Sarah Adi fokus kepada cabaran di Sukan Sea Kemboja.

“Sekarang saya tidak mahu memberi lebih banyak tekanan kepada Sarah, kerana terlalu banyak kontroversi, saya tidak mahu menambah kontroversi lagi.

“Sama ada dia berpotensi meraih pingat emas atau menaiki podium… ya Sarah masih yang terbaik untuk kita letakkan sasaran.

“Berdasarkan prestasi di Terbuka Taiwan, dia ada peluang baik di Sukan Sea Kemboja malah sekarang dia mahu cuba menggunakan galah lebih panjang dan run up, saya rasa dia tiada masalah untuk membuat lompatan lebih tinggi,” kata Zaki.

Pada Terbuka Taiwan ketika diiringi Roslinda, Sarah kembali melakukan catatan terbaik seperti ketika meraih pingat emas di Hanoi tahun lalu, lompatan 4 meter (m).

Berdasarkan catatan semasa, ketinggian lompatan Nor Sarah Adi, 4m di Terbuka Taiwan adalah yang ketiga tinggi selepas atlet Filipina dan Indonesia. – Zaki Sadri

“Namun kita perlu realistik kerana berdasarkan catatan terbaik serantau ketika ini, atlet Filipina sudah membuat lompatan setinggi 4.24m, manakala Indonesia 2.15m manakala Sarah 4m.

“Jika Sarah pernah melakukan lompatan lebih tinggi, kita boleh menaruh keyakinan pingat emas, namun Sarah lebih istimewa berbanding pesaingnya dalam acara lompat bergalah.

“Senjata utamanya adalah kelajuan yang dimiliki. Kebanyakan atlet lompat bergalah tidak mempunyai catatan larian 100m di bawah 12 saat, sedangkan Sarah 11.8s.

“Kelajuan ini akan membantunya meningkatkan momentum lompatan, malah jika berjaya menggunakan galah lebih panjang, tiada masalah untuk Sarah melompat lebih tinggi,” kata Zaki lagi.