GAGAL mendapatkan kepercayaan daripada pegawai persatuan terhadap perancangan mengembalikan maruah olahraga negara, menyebabkan Mohd Zaki Sadri meletak jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan.

Dia mengesahkan meletak jawatan pada hujung bulan lalu.

Bekas jaguh lompat kijang itu berkata, antara faktor mendesaknya meletak jawatan apabila berdepan kesukaran mendapatkan kepercayaan daripada pegawai dalam badan induk Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), bagi melakukan perubahan dalam skuad olahraga negara.

“Saya tiada masalah dengan presiden (Datuk Seri Shahidan Kassim) cuma beberapa pegawai. Mereka ini muka baharu, pengerusi jawatankuasa kejurulatihan dan latihan pun orang baharu (Datuk Wira Mark Ling) dan daripada latar belakang korporat…jadi, beliau tidak faham.

“Saya ada formula untuk mengembalikan semula kegemilangan olahraga seperti ketika zaman saya dahulu, tetapi masalahnya apabila kita nak berkongsi apa yang kita mahu lakukan untuk buat perubahan, orang-orang atasan tidak boleh terima.

Jodoh Mohd Zaki Sadri sebagai Ketua jurulatih olahraga kebangsaan sebentar sahaja.

“Sebagai ketua jurulatih, sudah tentu saya mahu lakukannya mengikut cara saya bagi membentuk dan menentukan hala tuju pasukan namun ia tidak boleh diterima. Saya bukan jenis pak turut, hanya mendengar cakap mereka 100 peratus… sukar untuk saya bekerja dalam suasana begini,” kata jurulatih berusia 56 tahun itu.

Zaki yang juga pemenang pingat emas lapan kali Sukan SEA, dilantik sebagai ketua jurulatih olahraga negara pada Februari lalu, menggantikan tempat Mohd Manshahar Abdul Jalil yang kontraknya tidak diperbaharui.

Zaki memberitahu, ketika menerima tawaran sebagai ketua jurulatih negara, dia masih mempunyai kontrak dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) selaku Pengarah Kejurulatihan Olahraga negeri berkenaan.

Naib Presiden KOM, Datuk Wira Mark Ling (kanan) antara muka baharu dalam badan induk olahraga negara.

“Terengganu melepaskan saya demi tanggungjawab kepada negara tetapi kontrak dengan mereka belum dibatalkan. Mereka bagi peluang untuk cuba dahulu tugasan baharu dan tengok macam mana.

“MSN (Majlis Sukan Negara) dan KOM tahu perkara ini, hanya surat pelantikan yang diberikan. Selepas tamat Sukan SEA Kemboja, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah MSN) beri tawaran untuk saya terus menjadi ketua jurulatih negara bagi tempoh tiga atau empat tahun lagi.

“Namun, dengan situasi yang saya hadapi, saya tidak boleh terima tawaran itu dan saya buat keputusan untuk kembali ke Terengganu,” katanya.

Sepanjang empat bulan menggalas tugas ketua jurulatih negara, Zaki bertanggungjawab mempersiapkan skuad olahraga negara menghadapi Sukan SEA Kemboja, bulan lalu yang menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat keseluruhan dengan membawa pulang lima pingat emas, tiga perak dan 11 gangsa.