MASIH muda dan mentah menghadapi saingan antarabangsa, tidak menghalang Zakiah Adnan untuk tetap dengan pendirian memburu pingat emas pada temasya Sukan Asia pertamanya, di Hangzhou, China, September depan.

Anak gadis berasal dari Kampung Ladang, Kuala Terengganu itu enggan terlalu yakin namun berpendirian, setiap impian perlu ada matlamatnya dan pingat emas itulah yang menjadikan dirinya fokus mengejar impian dalam sukan karate.

Penuntut pra-universiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata, tanpa terlalu memikirkan kehebatan pesaing yang terbukti berada di kelas dunia, matlamat yang ditetapkannya itulah mendorong dirinya melakukan persiapan terbaik menjelang saingan bermula 23 September hingga 8 Ogos depan.

Zakiah Adnan berani menulis impian, membuatkannya fokus dengan persiapan.

“Saya akan gunakan kaedah sama, tetapkan matlamat, saya tampal matlamat saya pemenang pingat emas AKF (Kejohanan Karate Asia 2023) pada dinding gelanggang latihan, meja ulangkaji, dalam bilik tidur.

“Ia sebagai peringatan supaya saya tidak lalai dan kekal berada di landasan ke arah matlamat yang saya inginkan.

“Seperti di AKF, saya gagal meraih emas tapi tergelincir pun saya dapat gangsa,” kata Zakiah, ketika ditemui di gelanggang latihan di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN).

Zakiah beraksi dalam kategori bawah 68 kilogram (kg) di Sukan Sea, gagal menyumbang pingat apabila tewas di suku akhir ketika berdepan karateka Kemboja.

Kejayaan memenangi pingat gangsa di Kejohanan Karate Asia di Melaka, membolehkan Zakiah Adnan tersenarai ke Sukan Asia Hangzhou 2022 yang akan berlangsung pada 23 September hingga 8 Oktober depan.

Namun pada AKF 2023 lalu, jurulatih Tamer Abdelrouf Mohamed Mourssy menukarnya beraksi di bawah kategori bawah 61kg dan dia berjaya menghadiahkan pingat gangsa.

Mengakui dirinya yang berada dalam program pelapis sebelum ini masih kurang pengalaman berdepan pencabar berkelas dunia, karateka berusia 20 tahun ini bijak mencedok pengalaman yang sedikit di AKF yang berlangsung di Melaka bulan lalu.

“Di Sukan Asia nanti, saya dapat lihat antara pencabar saya adalah atlet dari Iran yang menang emas (AKF), UAE, Vietnam (pemenang emas Sukan Sea) dan Jepun.

“Kali pertama sertai acara senior di AKF membuka mata saya bahawa jurang kemampuan saya dengan atlet nama besar antarabangsa tidak jauh, cuma saya kurang dari segi pengalaman,” katanya.

Melihatkan perancangan jurulatih, Tamer Abdelrouf yang akan membawa skuad karate kumite ke kem latihan 10 hari di Tunisia, menyertai Kejohanan K1 di Dublin, Ireland dan satu lagi kem latihan Maghribi, Zakiah yakin dia akan memperoleh sesuatu.

“Sudah tentu saya gembira dan teruja kerana saya belum menjelajah ke banyak negara.

“Paling utama, saya dapat peluang bertemu pesaing antarabangsa dan inilah peluang untuk saya mengenali, mempelajari dan mengatasi teknik pihak lawan gunakan,” ujar Zakiah, yang baru menyertai sukan karate kira-kira tiga tahun lalu.

Zakiah memberitahu, sebelum ini dia bergiat aktif dalam sukan taekwondo.