EPISOD penamatan kontrak Zaquan Adha Abdul Radzak dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) memasuki babak baharu selepas bekas penyerang skuad kebangsaan itu menunjukkan rasa tidak puas hatinya dengan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab yang berpangkalan di Paroi itu.
Sebelum ini, CEO NSFC, Faliq Firdaus mendedahkan pemain berusia 37 tahun itu tidak pernah menyemak statusnya sebagai pemain sejak kontrak tamat tahun lepas dan melabel tindakan Zaquan menggunakan media menimbulkan kekecewaan dan kebudak-budakan.
Seakan tidak mahu kalah, Zaquan tampil menafikan tuduhan tersebut menerusi satu kenyataan di laman insta story peribadinya dan mahu Faliq segera memperbetulkan situasi yang sebenar kerana dia merasakan dirinya seakan ‘disidai’.
“Maaf saya tak nak gaduh dengan sesiapan. Tapi saya rasa awak boleh betulkan ‘statement‘ ni balik. Saya whatsapp awak tak reply, saya tanya nak jumpa pukul berapa, awak sidai saya sampai ke sudah. Jangan cakap kat orang saya tak semak status.
“Macam mana nak semak status kalau awak lari-lari dari saya. Whatsapp tak reply, call memang banyak kali tak jawab. Ingatlah jawatan hanya sementara. Jangan cerita kat orang benda yang nak lepaskan diri awak,” luah Zaquan.
ARTIKEL BERKAITAN: CEO NSFC anggap tindakan Zaquan Adha ‘kebudak-budakan’
Pemain kelahiran Seremban itu bermain untuk Negeri Sembilan sejak pasukan remaja dan kembali menyarung jersi Hoben Jang Hoben pada 2021 dan melakukan 43 penampilan dengan sembilan gol.