PERSARAAN bekas pemain kebangsaan dan kelab, Zaquan Adha Abd Radzak daripada bola sepak telah membuka ruang dan peluang baharu bagi pemain itu.

Bekas pemain kelahiran Negeri Sembilan  itu telah diberi ruang dan peluang untuk menceburi bidang baharu iaitu bidang penyiaran.

Ini selepas Astro Arena mengumumkan Zaquan sebagai salah seorang pundit baharu bagi melakukan ulasan perlawanan untuk Liga Malaysia musim ini.

Zaquan akan menjadi pundit untuk Astro Arena bagi melakukan ulasan perlawanan sepanjang Liga Malaysia musim 2024/25 berlangsung.

“Saya tak pernah terfikir untuk memasuki bidang penyiaran, saya bersetuju menerima tawaran ini kerana saya boleh bercakap dengan apa yang saya tahu.

“Saya terpaksa tukar rancangan supaya tidak hilang dari radar dan saya masuk Astro Arena supaya saya boleh berkongsi fasal bola sepak, jiwa saya tak pernah pudar apabila berbicara tentangnya.

“Insyaallah saya akan buat yang terbaik dengan apa saya tahu sebab orang cakap kepada saya, ‘buat benda yang kau tahu’ jadi saya saya akan buat benda yang saya tahu dan saya akan komen dengan apa saya tahu,” jelasnya.

Dia juga tidak menolak kemungkinan akan memulakan kariernya sebagai jurulatih tidak lama lagi.

“Dalam masa yang sama, mungkin saya akan bermula bidang kejurulatihan.

Zaquan akan menyertai Safee Sali, Razman Roslan serta Mahali Jasuli bagi liputan Liga Malaysia 2024/25 untuk Astro Arena.

“Nak naik level B ke A bukan senang, kita kena coaching mana-mana pasukan.

“Jadi mungkin saya akan cuba coaching mana-mana pasukan supaya dapat mengasah bakat sebagai jurulatih di masa akan datang sambil saya menjadi pundit,” tambahnya lagi.

Zaquan sebelum ini mengumumkan persaraaan daripada bola sepak selepas kontraknya tidak disambung oleh pasukan Negeri Sembilan FC.