ATLET memanah, Muhammad Zarif Syahir Zolkepeli dan atlet karate, P.Madhuri masing-masing dipilih Olahragawan dan Olahragawati Universiti Putra Malaysia (UPM) 2022 pada Majlis Anugerah Sukan UPM Kali ke-37 2023.

Antara pencapaian tertinggi Muhammad Zarif ialah meraih pingat Emas dalam kejohanan Asia world Ranking Tournament bagi acara Recurve Individu dan dua pingat Emas di kejohanan Asean University Games (AUG) 2022 dalam acara Recurve Individu dan Recurve Team.

Madhuri meraih anugerah itu atas pencapaiannya yang menharumkan nama universiti dan Malaysia selepas meraih emas dalam kejohanan Makaf National Championship dan Asean University Games (AUG) 2022 dalam acara karate kumite.

Atlet lempar cakera negara, Sadat Marzuqi Ajisan merangkul anugerah Bintang Harapan Lelaki, manakala Siti Nur Azwani Nor Azli dari sukan karate pula telah dipilih sebagai Bintang Harapan Wanita. Pemilihan kedua-dua mereka atas kecemerlangan di sukan masing-masing.

Sementara itu, Majlis Anugerah Sukan UPM Ke-37 ini meraikan 182 orang atlet yang turut dihadiri Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah.

Majlis tersebut bagi menghargai jasa atlet UPM yang telah mengharumkan nama universiti di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa pada tahun lalu selain bagi mengiktiraf pencapaian atlet yang telah berusaha gigih untuk mencapai kejayaan dalam sukan yang mereka ceburi.

Selain itu, majlis ini turut diserikan dengan penyerahan insentif kecemerlangan sukan kepada 19 atlet UPM yang terlibat dalam Sukan Komanwel, Birmingham (28 Julai – 8 Ogos 2022) dan 40 atlet yang menyertai Sukan Universiti Asean, Ubon Ratchathani, Thailand (26 Julai – 6 Ogos 2022).