PERLAWANAN persahabatan antarabangsa pramusim antara juara Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Russia, Zenit St Petersburg sememangnya menjadi perhatian para penyokong bola sepak tanah air.

Perlawanan yang julung kali diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu itu turut menjadi perhatian penyokong Zenit dengan banyak komen-komen teruja dapat dilihat di laman sosial rasmi kelab yang berpangkalan di St Petersburg itu.

Tidak cukup dengan itu, pasukan media kelab juara Russia itu turut memuat naik video menerusi ‘reels’ di laman sosial Instagram rasmi kelab bagi mempromosikan perlawanan dan ianya berjaya menarik perhatian penyokong JDT di Malaysia terutamanya.

 

Video berdurasi hampir 30 saat itu menyaksikan tiga pemain Zenit berbahasa Melayu mengajak para penyokong JDT untuk sama-sama menyaksikan perlawanan ini dan tindakan ini disambut baik para penyokong yang nyata gembira dengan ‘personal touch’ dan kemesraan yang ditunjukkan kelab itu.

“Hai para penyokong Johor di seluruh dunia. Kami adalah kelab Zenit. Tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan itu. Singa lawan Harimau. Jumpa anda nanti,” menurut video itu.

JDT dalam rangka persiapan pasukan untuk menghadapi Liga Malaysia 2023 dan Liga Juara-Juara AFC musim 2023/24 kini berada di Dubai untuk kempen pra musim dan sudah mencatatkan tiga kemenangan keatas kelab Levski Sofia, Fursan Hispania dan Lokomotiv Moscow.

Harimau Selatan hanya tewas sekali dalam aksi pembukaan menentang Rostov FC dan bakal menamatkan aksi pra musim menentang Zenit St Petersburg pada Isnin dan ianya akan menjadi satu ujian yang baik buat barisan bintang kendalian Esteban Solari itu.