ANAK muda Orang Asli, Zeroberto dari suku kaum Semai, Perak bertuah terpilih mengikuti Cityzens Giving Programme Manchester City FC (MCFC).
Umpama mimpi jadi realiti buat anak jati Perak yang memiliki nama sama seperti legenda bola sepak Brazil ‘Ze Roberto’ untuk beraksi di Manchester City.
Bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesional, Zeroberto,19, terbang ke Manchester City menjalani latihan bermula 18-26 Jun lalu yang menyaksikan dia telah dapat mempelajari kemahiran baharu dan teknik komunikasi yang baik.
Sedar memiliki personaliti ‘introvert’, dia mengakui berjaya keluar dari kepompong zon selesa dan mampu menjadi seorang ketua yang memiliki keyakinan yang tinggi.
“Latihan itu memerlukan kita untuk banyak berkomunikasi antara satu sama lain. Kita sering jumpa rakan-rakan dari pelbagai negara berlainan.
“Dari sudut bola sepak, skil yang diajar oleh pemain profesional adalah sesuatu yang sangat berharga. Ia jelas adalah mimpi jadi realiti bagi saya,” ujar Zeroberto.
Meskipun gagal menemui pemain kesayangannya, Kevin De Bruyne namun ia sedikit terubat apabila dia berjaya bertentang mata dengan penjaga gol wanita terkenal MCFC, Karen Bardsley yang berkongsi tips dengannya kerana di Malaysia dia lebih fokus dalam posisi pertahanan dan juga penjaga gol.
Tambahnya, dia akan berkongsi apa yang dipelajarinya dengan pelajar lain di Dignity, Kuala Lumpur, bukan hanya dengan teknik permainan yang baik malah memupuk cara menjadi ketua yang baik dan sentiasa menyemai karakter positif pada setiap masa.
Sebagai rekod, Zeroberto bersekolah dan belajar bahasa Inggeris di Dignity dan tidak mengetahui bahawa Dignity telah bekerjasama dengan MCFC dalam program ini.
Dalam projek ini, MCFC membiayai latihan Kem Keamanan dan Bola Sepak Dignity dan menjemput pemimpin muda daripada NGO (Badan Bukan Kerajaan) bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Muda yang diadakan di Manchester setiap tahun (kecuali untuk 2020 dan 2021).
Sehingga kini, seramai 13 pemimpin muda dari Dignity telah menyertai Sidang Kemuncak itu.
Dignity merupakan pusat pembelajaran terbesar dan paling komprehensif untuk golongan kurang berkemampuan di Malaysia dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Dignity telah menyediakan pendidikan berkualiti dan penjagaan holistik kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik sejak 24 tahun yang lalu. Dari bilik darjah hanya 20 pelajar pada 1998, Dignity kini sedang mendidik 1,650 pelajar pada tahun ini.
Yayasan ini menerima Anugerah Malaysia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2019 atas usahanya untuk memenuhi Matlamat Pembangunan Kelestarian ‘Leave No One Behind’ serta Anugerah Antarabangsa Sharjah untuk Advokasi dan Sokongan Pelarian pada 2018.