SELEPAS menyaksikan kejayaan Malaysia di kelayakan Piala Asia 2023 dari bangku penonton, pemain Kuala Lumpur City FC (KL City), Zhafri Yahya, berazam untuk kembali berada dalam perancangan jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-Gon.
Justeru itu peluang beraksi pada kempen Piala AFC bersama skuad ibu kota mahu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Zhafri sekaligus memikat hati pengendali kelahiran Korea Selatan itu.
Menurut Zhafri kepada FLASH SUKAN, selain misi besar itu, pentas Piala AFC yang bermula Jumaat ini juga menjadi medan KL City FC menguji kemampuan di rantau ini dan turun selaku status juara Piala Malaysia tahun lalu.
“Sejujurnya memang saya sudah lama mengimpikan peluang menyarung jersi kebangsaan di pentas antarabangsa. Namun jurulatih (Pan-gon) pasti ada rancangan lebih baik.
“Sebagai pemain, saya perlu meningkatkan prestasi dan membaiki kelemahan dalam aspek perlawanan selain menunjukkan kebolehan dalam saingan Liga Super.
“Kempen Piala AFC sudah tentu memberi pengalaman baharu buat KL City FC dan saya yakin kami mampu melangkah jauh,” ujarnya.
Zhafri, 27, menyertai senarai 25 pemain di bawah kendalian Pan-Gon pada aksi pemanas badan di Singapura, Mac lalu, namun khidmatnya tidak diperlukan dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2023, minggu lalu.
Pemain itu menjaringkan tiga gol dalam Liga Super musim ini dan satu gol dalam kempen Piala FA selepas memainkan peranan penting membawa KL City FC menjulang Piala Malaysia tahun lalu.
“Saya akan berusaha mengekalkan rentak terbaik untuk terpilih ke kem latihan skuad kebangsaan dan memenuhi impian menyarung jersi Harimau Malaya,” tambah Zhafri.