JELAS terukir kesedihan pada wajah pemain Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya selepas tidak dapat membawa pasukannya muncul juara Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Lebih mengecewakan apabila dia merasakan Kuala Lumpur City FC mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak berjaya dan menganggapnya bukan rezeki buat mereka untuk muncul juara.

Namun dia mahu rakan sepasukannya mahu terus bangkit dan melupakan kekecewaan ini seterusnya fokus kepada aksi Piala Malaysia yang akan bermula minggu hadapan dan berharap dapat melakukan sesuatu dalam kejohanan itu.

Zhafri Yahya cuba melepasi halangan pertahanan Al-Seeb

 

“Bagi saya ianya bukan rezeki kami pada malam ini kerana kami mempunyai dua tiga peluang yang seharusnya dijaringkan tetapi mungkin rezeki tidak menyebelahi dan Al Seeb juga hanya mempunyai dua tiga peluang tetapi mereka menjaringkan gol dan mungkin malam ini bukan malam kami.

“Sudah semestinya kami kecewa kerana apabila sudah sampai ke final sudah pasti kita hendak menjadi juara. Kekalahan 3-0 ini agak besar buat kami dan saya kecewa dengan keputusan ini.

“Untuk Piala Malaysia, kami akan lakukan permainan yang baharu dan akan lupakan Piala AFC,  fokus kepada Piala Malaysia selepas ini kerana kami mempunyai sejarah yang baik di dalam Piala Malaysia dan sudah tentu jurulatih mempunyai perancangan yang baik,” katanya selepas perlawanan akhir itu.

Selepas berjaya mencipta kejutan demi kejutan hingga layak ke perlawanan akhir Piala AFC, kini KL City akan memulakan kempen Piala Malaysia berdepan PDRM FC pada 27 Oktober 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.