PEMAIN tengah, Zhafri Yahya melakar rekod peribadi tersendiri apabila melakukan penampilan ke-200 untuk Kuala Lumpur City FC.
Malah, lebih manis kejayaan itu hadir menerusi persembahan baiknya ketika KL City menumpaskan Kelantan United 3-0 pada aksi Liga Super di Cheras pada Ahad malam.
Pemain berusia 29 tahun itu yang memakai jersi No 8, bermain baik sepanjang perlawanan tenang membantu rakan-rakan menggenggam lagi tiga mata penuh hasil jaringan daripada Matko Zirdum, Paulo Josue dan Kipre Tchetche.
“Zhafri Yahya akan membuat penampilan ke-200 untuk Kuala Lumpur hari ini (semalam) menentang Kelantan United. Dia telah menjaringkan 22 gol dalam lapan musim bersama KL.
“Zhafri merupakan pemain kedua dari KL yang mencapai mercu tanda ini selepas Razip Ismail,” kata Devinder Singh, wartawan sukan yang juga pengumpul data dan peminat setia pasukan bola sepak Kuala Lumpur di platform X.
Zhafri Yahya will be making his 200th appearance for Kuala Lumpur today against Kelantan United. He has scored 22 goals in his eight seasons with KL
Zhafri is just the second player from KL to achieve this landmark after Razip Ismail#SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/nMjwsuBsDF— Devinder Singh (@devinder00) November 26, 2023
Zhafri sudah beraksi untuk The City Boys selama hampir lapan musim sejak menyertainya dari Selangor pada 2016 dan memulakan karier selaku pemain bola sepak profesional bermula 2014 bersama PKNS FC sebelum setahun kemudian menyertai skuad Merah Kuning.
Dia kemudian menyertai skuad Warga Kota pada 2016 secara pinjaman sebelum sah sebagai pemain KL City sehingga kini.
Pada pentas final Piala Malaysia 2021, Zhafri dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan dan pernah dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya pada Kejohanan Piala Raja Thailand bermula dari 22 hingga 25 September 2022 di Chiang Mai.