PERSEORANGAN No.1 negara, Lee Zii Jia mengakui berdepan ‘feeling’ berbeza setelah ketiadaan jurulatih Indra Wijaya yang sering menjadi tulang belakangnya sewaktu dia masih berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Jelasnya, dia menerima dengan hati yang terbuka apa sahaja kemungkinan yang bakal terjadi terhadap prestasinya selepas ini setelah secara rasmi keluar dari badan induk persatuan badminton negara itu.

“Memang setelah tiada jurulatih, perasaan tidak sama. Ini yang saya pilih saya kena terima baik atau tidak, ini yang saya kena tanggung,” jelasnya.

Menjelang kejohanan seterusnya iaitu di Terbuka India yang bakal dilangsungkan pada 17- 22 Januari, Zii Jia menjelaskan tiada banyak ruang dan perubahan yang dapat dilakukan dalam perlawanan itu.

“Saya rasa beberapa hari ini nak perbaiki pun tidak boleh banyak sangat untuk kejohanan selepas ini,” ujarnya.

Kini, Liew Daren bakal mengambil tugas sementara bagi membantu Zii Jia ketika beraksi di dalam gelanggang sebagai jurulatih sementaranya.

“Buat masa ini memang macam inilah, dia (Liew Daren) sebagai jurulatih saya buat masa ini.

Untuk rekod, Zii Jia secara rasmi telah meletakkan jawatan dari BAM pada 11 Januari tahun lalu serta mengambil keputusan untuk bergerak sebagai pemain profesional.

Sejak keputusan tersebut dibuat Juara Seluruh England 2021 itu turut berdepan kesulitan dalam mengekalkan prestasinya di peringkat tertinggi apabila seringkali tewas di pusingan awal kejohanan kategori atas Super 750.

Dalam aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia semalam, Zii Jia tunduk kepada pemain perseorangan Jepun, Kodai Naraoka 21-13 17-21 19-21.