PEMAIN badminton profesional negara, Lee Zii Jia menganggap pencapaiannya memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 mempunyai nilai yang luar biasa buat dirinya.

Menerusi hantaran di laman sosial peribadinya, anak kelahiran Kedah itu berterima kasih kepada semua pihak terutama kerajaan Malaysia, Majlis Olimpik Malaysia, Institut Sukan Negara, para penaja dan kepada semua penyokong yang memberikan dukungan luar biasa kepadanya.

“Pingat Gangsa Olimpik Paris 2024 ini punya nilai yang luar biasa buat saya. Terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara kerana sentiasa menyokong atlet dan Institut Sukan Negara atas bantuan perubatan sepanjang Olimpik.

“Terima Kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia dan juga Chef De Mission Negara di Olimpik Paris Datuk Hamidin Mohd Amin dalam memastikan urusan penginapan dan terutama sekali, kad akreditasi membabitkan anggota pasukan saya agar saya memiliki kekuatan penuh bertanding di Olimpik Paris 2024.

“Tidak dilupakan Timbalan CDM Datuk Nicol David yang sentiasa ada ketika setiap perlawanan menyokong saya,” katanya dalam hantaran itu.

Dia turut menyatakan perasaan dan apa yang diharunginya selepas Olimpik Tokyo 2020 dan dia semakin bersemangat untuk meraih emas pertama negara di Temasya Olimpik Los Angeles 2028.

“Selepas Olimpik sulung saya di Tokyo 2020, saya sama sekali tidak menyangka laluan berliku yang bakal saya tempuh. Mujur dalam impian saya bergerak sebagai profesional saya memiliki sebuah pasukan dalam bentuk TeamLZJ yang cukup komited kerana mereka, saya memiliki kekuatan menghadapi jatuh bangun sejak menjadi professional pada 2022.

Lee Zii Jia juga berjaya meraih gangsa kedua buat Malaysia.

“Pingat gangsa ni tidak mungkin jadi realiti kalau tidak kerana cinta saya pada Malaysia, dan juga syukur kepada penaja saya @victorsport_official @lg_malaysia dan @my100plus .

“Kepercayaan yang mereka berikan disebalik pelaburan wang ringgit pada saya untuk merealisasikan apa sahaja impian saya membawa makna lebih besar untuk saya terus kekal bermotivasi.

“Tidak lupa juga kepada mereka yang pernah menaja saya serta Universiti Malaya yang memberikan saya kemudahan untuk meningkatkan prestasi saya, kejayaan ini saya kongsi bersama anda.

“Tidak ketinggalan warga Malaysia dan penyokong saya di seluruh dunia, terima kasih kerana menjadi sandaran sokongan fizikal, mental dan emosi saya untuk terus berjuang sebagai seorang professional.

Iltizam saya adalah untuk memastikan Impian Pingat Emas Olimpik sulung Malaysia jadi realiti, saya akan terus bekerja keras berbekalkan doa dan sokongan anda semua. Terima Kasih.