KEKALAHAN Lee Zii Jia di pusingan ketiga Kejohanan Dunia, bukanlah suatu yang mengejutkan kerana situasi sebegitu pasti dihadapi setiap atlet biarpun berada di ranking tertinggi dunia.

Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berkata, sebagai pemain berprestasi tinggi, perancangan menyertai mana-mana kejohanan amat penting dalam usaha merealisasikan matlamat yang ditetapkan baik pemain jurulatih mahupun persatuan atau kelab yang dinaungi.

“Sebagai pemain yang pernah berada di tahap tertinggi, kita tidak boleh hilang ‘tournament feeling‘ (perasaan kejohanan) terlalu lama.

“Inilah yang saya lihat berlaku kepada Zii Jia selepas tidak beraksi pada Terbuka Singapura dan Sukan Komanwel, Julai dan Ogos lalu,” kata Chong Wei yang kini berada di Tokyo, Jepun.

Tambah beliau, sebagai pemain profesional, menjadi hak Zii Jia dan jurulatihnya menentukan kejohanan mana untuk disertai dan setiap keputusan dibuat, tiada yang salah dan tidak semestinya tepat.

“Dia pemain profesional, hak dia untuk tidak bermain di Sukan Komanwel.

Chong Wei memberitahu perancangan menyertai mana-mana kejohanan adalah amat penting. Foto: IG LCW

“Tapi Sukan Komanwel yang dianjurkan empat tahun sekali ini, tidak mempunyai pesaing tahap tertinggi namun ada pencabar berkualiti seperti dari India dan Singapura. Jika dia sertai sekalipun, ada masa sekurang-kurangnya 10 hari untuk berehat ” kata Chong Wei  yang berpendapat temasya sukan itu boleh dijadikan medan pemanas badan untuk mendapatkan perasaan kejohanan.

Katanya, situasi di game ketiga ketika Zii Jia mendahului  Zhao Jun Peng 14-10 menampakkan kekurangan pemain negara apabila dikejqr 14-14.

Beliau memahami alasan rehat dan mahu pulih dari kecederaan yang dinyatakan Zii Jia, namun perancangan harus selari dengan matlamat yang ditetapkan pemain itu, yang mahu mencabar gelaran juara dunia.

Begitupun, beliau mahu Zii Jia belajar daripada kekalahan itu.

Tambah beliau, kini kelihatan Zii Jia berada di bawah tekanan, suatu perkara yang mahu dielakkan pemain itu ketika keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Harap Zii Jia faham bahawa apabila bergelar pemain, di mana kita berada, tekanannya tetap sama kerana kita mahukan keputusan yang baik, peminat mahu keputusan yang baik, negara mahu keputusan yang baik.

 

Paling penting, bagaimana kita harungi tekanan itu,” kata Chong Wei lagi.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain nombor satu dunia Roslin Hashim berkata, penyingkiran Zii Jia di pusingan ketiga itu sememangnya satu kegagalan peribadi buat pemain terbabit.

Pandangannya itu berlandaskan sasaran Zii Jia sendiri yang meletakkan gelaran juara dunia sebagai matlamat.

Roslin yang kini aktif sebagai jurulatih di Kelab Badminton PS di Johor Bahru, turut sependapat dengan pandangan Chong Wei mengenai perancangan kejohanan yang disertai.

“Saya pernah alami di Kejohanan Dunia 2001, ketika itu  saya diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan  tentunya lebih tinggi harapan diletakkan.

“Saya teruja dan tetap mahu beraksi walaupun kesihatan tidak baik ketika itu sehingga tersingkir di pusingan kedua dan mengundang kecaman di media, namun itulah asam garam sebagai atlet kerana kita tidak boleh lena diulit pujian netizen meskipun menghadapi kekalahan,” katanya, yang mengharapkan Zii Jia bangkit selepas ini.

Pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia semalam, Zii Jia tewas kepada pemain China, Zhao Jun Peng 19-21, 21-11, 19-21.

Terdahulu, pemain Jepun Kento Momota yang diletak selaku pilihan kedua tersingkir lebih awal.