PERSEORANGAN lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia menamatkan latihan 11 hari di Korea Selatan, Jumaat lalu, bakal menampilkan aksi lebih baik ketika menggalas cabaran negara dalam kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) Selasa ini.

Mengikuti latihan keras sejak 31 Januari lalu, Zii Jia berkongsi pengalamannya menjalani latihan menerusi laman sosialnya.

Bersama pasukan kebangsaan Korea Selatan, Zii Jia dilihan mengikut latihan keras di pusat latihan Persatuan Badminton Korea (BKA) di Jincheon.

“Ia adalah satu pengalaman yang menakjubkan, kami amat berterima kasih kepada BKA. Inilah pandangan di sebalik tabir dalam pusat latihan BKA di Jincheon, Seoul yang dirakam jurulatih kecergasan Team LZJ, Lim Joe Heang.

“Sudah tidak sabar untuk kembali beraksi dan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang menyambutnya,” demikian kapsyen video yang dimuat naik itu.

Peluang menjalani latihan di pusat latihan BKA itu, difahamkan diatur jurulatihnya, Wong Tat Meng yang pernah berkhidmat selama empat tahun bersama badan induk badminton Korea sebelum menyertai skuad kebangsaan Hong Kong pada 2022.

Wong Tat Meng mengatur latihan keras buat Lee Zii Jia bersama pemain kebangsaan Korea Selatan.

Justeru, pengalaman di Korea itu bakal diuji kali pertama ketika Zii Jia mengetuai cabaran Malaysia bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, sekali gus mempertahankan kejuaraan 2022.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama Taiwan, Brunei dan Kazakhstan dijangka tiada masalah mara ke suku akhir, biarpun pasukan kali ini agak tempang dengan deretan pemain masih mencari tahap kecergasan selepas mengalami kecederaan, seperti Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Muhammad Haikal Nazri.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir manakala empat pasukan terbaik kejohanan kali ini layak secara automatik ke saingan Piala Thomas/Uber di Chengdu, China, April depan.