SELEPAS melonjak ke ranking nombor dua dunia sebaik mara ke final Terbuka Denmark minggu lalu, perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia, ditunjuk jalan pulang dari Terbuka Perancis apabila tewas di pusingan pertama, sebentar tadi.

Berdepan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito, Zii Jia sedar tiada jalan mudah untuknya kerana berdasarkan rekod pertemuan, masing-masing menang empat perlawanan.

Namun kekalahan 19-21, 18-21, kepada Shesar itu mungkin bukan keputusan yang dijangka, apatah lagi tewas dua set berturut-turut.

Minggu lalu, Zii Jia tewas kepada Shi Yu Qi dari China, di perlawanan akhir Terbuka Denmark, menyaksikan dia yang menduduki ranking ketiga dunia, melonjak satu anak tangga dalam senarai ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikeluarkan 25 Oktober.

Juara Dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut kandas di pusingan pertama Terbuka Perancis.

Mengiringi Zii Jia, gandingan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila tunduk kepada beregu dari China 13-21, 14-21.