PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia semakin bersemangat memburu kejuaraan pertama musim ini, selepas mengesahkan kemaraan ke suku akhir Indonesia Masters.
Pemain yang naik ke ranking nombor 10 dunia itu, mara ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan wakil Hong Kong, Ng Ka Long 22-20, 21-15 pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Istora Senayan di Jakarta.
Ironinya, perlawanan itu juga menjadi medan pertembungan dua jurulatih yang memainkan peranan penting dalam kerjaya kedua-dua pemain di gelanggang, iaitu Wong Choong Hann dan Wong Tat Meng.
Choong Hann kini bersama Hong Kong membimbing Ka Long, pernah melatih Zii Jia dalam skuad kebangsaan sebelum pemain itu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Januari 2022.
Tat Meng pula pernah menjadi jurulatih Ka Long ketika bersama skuad Hong Kong sebelum dia meletak jawatan bagi menerima tawaran melatih Zii Jia, Julai tahun lalu.
“Ia perlawanan yang sukar. Ia bukan saja perlawanan antara pemain yang mana saya dengan Ka Long sudah beberapa kali bertemu sebelum ini tetapi juga jurulatih.
“Choong Hann pernah melatih saya dan Tat Meng juga pernah membimbing Ka Long. Jadi, tidak kira pemain atau jurulatih, semuanya sudah mengenali corak permainan masing-masing.
“Namun, hari ini corak permainan menyerang memberi kelebihan kepada saya memenangi perlawanan,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat perlawanan.
Ini adalah suku akhir kedua Zii Jia musim ini selepas turut melakukannya pada Terbuka India, minggu lalu.
Dia dijadual menentang pemenang perlawanan antara pemain Kanada, Brian Yang dengan Priyanshu Rajawat dari India bagi perebutan tiket ke saingan kelompok empat terbaik, esok.
Zii Jia tidak pernah bertemu dengan Priyanshu sebelum ini manakala dia menang ke semua lima pertemuan menentang Brian dengan kali terakhir di pusingan pertama Terbuka India, minggu lalu.
Turut cemerlang ke suku akhir, beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mengatasi rakan sepelatih, Chan Peng Soon-Cheah Yee See 21-12, 21-16.
Menganggap setiap perlawanan sebagai aksi final, membuahkan hasil positif apabila mereka berjaya melangkah ke suku akhir.
Pasangan ranking ke-25 dunia itu kali pertama mara ke kelompok lapan terbaik musim ini selepas terkandas di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan Terbuka India.
“Sejak tahun lalu, prestasi kami tidak menentu. Jadi, sekarang kami menganggap setiap perlawanan tidak kira pusingan pertama sekalipun…ia sebagai perlawanan terakhir untuk kami.
“Kami akan berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan,” kata Kian Meng.
Tambah Kian Meng, prestasi tidak menentu dialami mereka menyaksikan peluang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 hampir tertutup, namun mereka kekal bermotivasi tinggi untuk meneruskan perjuangan dalam sukan yang mereka sayangi itu.
“Destinasi kami mungkin bukan Sukan Olimpik tetapi selagi kami boleh bermain, kami akan terus berjuang,” katanya.
Kian Meng-Pei Jing berdepan tugas getir dalam misi untuk mara ke separuh akhir apabila dijadual menentang pasangan nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong di suku akhir, esok.
“Kami sebenarnya tidak terlalu fikirkan siapa pun lawan kami, apa yang lebih penting adalah kami fokus dalam setiap perlawanan,” kata Pei Jing.