MESKIPUN belum memenangi pingat di Olimpik, jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia berasakan, kejayaannya melayakkan diri ke Sukan Olimpik kali kedua, meningkatkan keyakinannya untuk memburu emas di temasya itu.

Perkara itu dikongsinya menerusi rakaman suara di laman sosial ‘X’ Team LZJ, sejurus selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengeluarkan senarai rasmi akhir, pemain badminton dunia yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2020 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Bekas juara Seluruh England itu menjadi wakil tunggal negara dalam perseorangan lelaki, yang layak ke Temasya Paris selepas seorang lagi pemain perseorangan, Ng Tze Yong terlepas peluang gara-gara mengalami kecederaan.

Lee Zii Jia berkongsi hasrat dan sasarannya di Sukan Olimpik Paris menerusi rakaman suara yang dimuat naik di aplikasi X Team LZJ.

“Secara jujurnya, bukan cakap saya sombong atau apa… sasaran saya bukan untuk layak ke Olimpik tetapi sasaran saya adalah untuk memenangi Olimpik.

“Saya tahu saya ada potensi untuk menang. Namun, saya sedar saya masih bergelut dengan prestasi (tidak menentu).

“Sebab utama saya tidak meraikannya (layak ke Olimpik) adalah seperti yang saya katakan, sasaran utama adalah untuk memenangi Olimpik, bukannya layak,” kata Zii Jia, menerusi perkongsian rakaman suara yang dikongsikan menerusi Twitter rasmi Team LZJ, semalam.

Malang menimpa Ng Tze Yong yang terpaksa melupakan Olimpik Paris selepas mengalami kecederaan belakang awal tahun ini.

Untuk rekod, Paris menjadi kali kedua berturut-turut Zii Jia layak ke pentas Olimpik selepas membuat kemunculan sulung di Olimpik Tokyo 2020.

Pengalaman pertamanya di Tokyo, berakhir di pusingan 16 terbaik selepas tewas di tangan bintang China ketika itu, Chen Long dalam pertarungan tiga set 21-8, 19-21, 5-21.

Selain Zii Jia, empat lagi wakil negara turut mengesahkan tiket ke Paris iaitu perseorangan wanita, Goh Jin Wei; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul pemain badminton negara berada pada ranking tertinggi, untuk layak ke Paris 2024.

Menurut Zii Jia, layak buat kali kedua ke Olimpik adalah satu pencapaian besar buat dirinya sekali gus menjadi pemain perseorangan lelaki Malaysia yang kedua selepas bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei yang layak lebih sekali ke temasya terbesar dunia berkenaan.

Sebelum ini, Chong Wei empat kali layak ke Olimpik bermula di Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

“Dalam proses kelayakan ini, saya dapati ia bukanlah perkara mudah. Macam Tze Yong, dia sedikit lagi boleh layak tetapi selepas alami kecederaan (belakang), terus habis.

“Secara jujurnya, saya bersimpati dengan Tze Yong tetapi saya beritahu dia untuk tidak beri tekanan kepada diri sendiri dan terlalu banyak fikir negatif. Saya boleh bermain dua kali di Olimpik.

Biarpun prestasinya tidak menentu, Lee Zii Jia mengakui Paris 2024 adalah peluang terbaiknya untuk merangkul pingat emas pertama buat negara.

“Selepas Chong Wei, saya pemain (badminton) yang berjaya bermain lebih daripada sekali. Saya beritahu kepada diri sendiri, ini adalah pencapaian yang besar.

“Walaupun belum menang pingat lagi tetapi ini adalah sesuatu yang positif untuk meningkatkan lagi tahap keyakinan saya.

“Kita pun tidak tahu sama ada saya boleh bersaing di Olimpik lagi selepas ini tetapi ini adalah kejohanan terbesar untuk semua atlet. Saya harap bebas daripada kecederaan dan berada pada tahap terbaik untuk bersaing di Olimpik kali ini,” ujarnya lagi.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam acara perseorangan lelaki di Olimpik adalah menerusi Chong Wei di Rio de Janiero pada 2016.

Pada edisi di Tokyo, Aaron-Wooi Yik mencipta kejutan pada penampilan sulung mereka apabila berjaya membawa pulang gangsa.