PEMAIN Perseorangan Lelaki negara, Lee Zii Jia tidak berhadapan masalah untuk mara ke pusingan 16 setelah menundukkan pemain Sepanyol, Pablo Abian straight set 21-10, 21-13 dalam acara badminton peringkat Kumpulan G Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam set pertama, Lee Zii Jia dilihat tidak mengalami kesukaran berhadapan lawan berusia 39 tahun itu kerana pemain sering kali melakukan kesilapan invididu untuk memberikan kemenangan mudah 21-10 dalam tempoh 15 minit.
Zii Jia sedikit ditekan pada set kedua dengan Abian mendahului 10-11 menuju rehat namun Zii Jia langsung tidak menoleh kebelakang untuk menang set kedua 21-13.
Dia yang ditemui media selepas perlawanan mengakui dia berjaya mengawal rasa gemuruh sekaligus mengawal permainan dan dia sudah bersedia untuk menghadapi lawan dan menjangkakan satu saingan yang sengit akan diberikan.
“Saya layak lagi sekali ke pusingan 16 dan harap Olimpik kali ini berikan keputusan yang lebih baik. Saya dapat kawal gemuruh dan walaupun berdepan masalah angin di gelanggang ini, namun ia dapat diatasi kerana ianya masalah yang sama untuk semua pemain.
“Sesiapa pun yang saya jumpa esok sama ada Anthony atau Toma Popov akan berikan kesukaran terutama Popov yang beraksi di gelanggang sendiri. Penyokong di sini cukup bagus dan saya dapat dengar sorakan yang mereka berikan kepada saya,” katanya.
Zii Jia akan menunggu pemenang antara Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia atau pemain tuan rumah Toma Popov Junior untuk meneruskan misi menjadi pemenang pingat emas pertama buat Malaysia di Sukan Olimpik.