SISTEM kiraan mata dalam sukan badminton mengalami beberapa kali perubahan dan kiraan 21 mata yang digunakan ketika ini mula diperkenalkan sejak 2007, dengan pemenang ditentukan menerusi kemenangan in a best of three sets match.
Sejak itu, perlawanan separuh akhir Terbuka Switzerland 2008 antara Datuk Lee Chong Wei menentang pemain Poland, Premyslaw Wacha direkodkan sebagai perlawanan paling pantas ditamatkan mengikut format 21 mata.
Chong Wei mencatat kemenangan 21-14, 21-14 dalam masa 30 minit.
Menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF), rekod perlawanan paling cepat dihabiskan di Terbuka Switzerland itu dipadam awal pagi tadi.
Ironinya, rekod baharu perlawanan terpantas itu turut dirakam di peringkat separuh akhir ketika pemain negara di ranking keempat dunia, Lee Zii Jia tewas kepada pemain Jepun, Koki Watanabe.
Pada perlawanan itu, Koki Watanabe menang ke atas Zii Jia 21-11, 21-14 dalam masa 27 minit.
Meskipun tewas, pencapaian Zii Jia di Terbuka Switzerland ini adalah yang terbaik buatnya tahun ini selepas Seluruh England minggu lalu, iaitu mara ke separuh akhir.
Pada kejohanan pembukaan 2023, pemain profesional negara itu tewas tiga kali di pusingan kedua iaitu di Terbuka Jerman, Indonesia Masters, dan Terbuka India manakala di Terbuka Malaysia, dia tewas di pusingan pertama.
Dalam pada itu, aksi separuh akhir semalam turut menyaksikan beregu lelaki profesional negara turut tersingkir dalam aksi sengit menentang gandingan India, S Rankireddy-Chirag Shetty.
Gandingan negara yang dibimbing Rosman Razak itu tewas 19-21, 21-17, 17-21 kepada Rankireddy-Shetty yang kini dibimbing bekas pemain Denmark, Mathias Boe.
Begitupun, cabaran negara di Switzerland terus disandarkan kepada pasangan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Gandingan kekasih ini menang ke atas pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-14, 23-21, untuk menempah pertemuan dengan gandingan China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.
Meskipun gandingan ini berada di ranking ke-33 dunia berbanding Soon Huat-Shevon di ranking ke-11 dunia, pasangan dari China itu mempamerkan prestasi luar biasa sepanjang tahun ini, dengan muncul naib juara Indonesia Masters Januari lalu, juara di China Masters pertengahan bulan ini dan kini layak ke final Terbuka Switzerland.