LEE Zii Jia memerlukan pasukan yang lengkap dan berpengalaman, bagi membantunya kembali ke puncak prestasi.
Bekas pemain nombor dua dunia, Ong Ewe Hock mempertahankan prestasi perseorangan terbaik negara itu di Kejohanan Dunia, namun tidak menafikan pemain ranking keempat dunia belum lengkap.
“Saya rasa tidak adil jika orang mengatakan dia gagal hanya kerana tewas satu-satu perlawanan. Tetapi apa yang penting adalah Zii Jia meneruskan usahanya.
“Selepas tewas atau gagal di mana-mana kejohanan, dia perlu bangkit dan kembali memenangi kejohanan. Masih jauh perjalanannya, bukan sebulan dua tapi bertahun-tahun lagi akan dia tempuhi,” kata Ewe Hock.
Menurutnya, sebagai pemain berkelas dunia, ada masa menang dan ada masa tewas, namun ketika jatuh, pemain hendaklah meneruskan usaha dan mengkaji masalah dalam permainan untuk meningkatkan prestasi.
“Saya lihat masalah di sini adalah, sebaik dia beralih sebagai pemain profesional, dia mendapat kejuaraan dan peminat meletakkan harapan tinggi kepadanya, yang mahukan dia terus menjadi juara, tapi perlu diingat ramai lagi pencabar kejuaraan di luar sana termasuk Axelsen (Viktor Axelsen) dari Denmark,” kat Ewe Hock.
Ewe Hock, pemain di era 15 mata, seorang pejuang bermati-matian di atas gelanggang, cuba membalas setiap pukulan di segenap penjuru gelanggang.
Justeru, dia amat memahami apa erti tekanan apabila bermain di pentas tertinggi.
Katanya, perkara paling penting adalah cara menyerap tekanan dan bagaimana kita mengatasinya.
Sekiranya pemain gagal mengadaptasi tekanan, kesilapan mudah akan berlaku.
Dia berharap ketandusan rakan ‘sparing’ tidak menjadi isu buat Zii Jia.
“Bukan isu, dia (Zii Jia) perlu selesaikan dengan caranya sendiri kerana dia yang mahu menjadi pemain professional, dia dan pasukannya hendaklah mengatur rakan sparing sendiri. Apabila bergelar pemain profesional, anda hendaklah cari penyelesaian sendiri, menggunakan pasukan sendiri, penajaan sendiri.
“Sebagai pemain profesional, tidak boleh lagi mengharapkan apa yang diperoleh seperti dalam BAM (Persatuan Badminton Malaysia), boleh dapat lima atau 10 rakan sparing,” katanya lagi.
Dia berkata, pemilihan kejohanan untuk disertai juga kunci utama dalam meraih kejayaan.
Katanya, Axelsen juga memenangi kejuaraan, malahan pernah menarik diri dari kejohanan kerana keletihan dan mahu elakkan kecederaan.
“Menarik diri tidak mengapa, tapi selepas anda putuskan untuk menyertai kejohanan tertentu, anda perlu menang.
“Jangan selepas menarik diri kejohanan tertentu, apabila sertai kejohanan lain tewas, tewas dan tewas. Sudah tentu orang atau peminat akan bercakap bukan-bukan, itulah tekanannya,” kata Ewe Hock.
Tempoh rehat panjang kalendar badminton dunia ketika ini, diharap cukup buat Zii Jia bangkit dengan lebih bergaya sekali gus meraih gelaran di Terbuka Denmark dan Perancis, Oktober ini.