LEE Zii Jia mengakui masih tertinggal di belakang bintang Jepun, Kodai Naraoka, selepas pemain profesional negara itu ditunjukkan jalan keluar oleh naib juara dunia terbait di pusingan pertama Terbuka China.
Zii Jia tewas 24-26, 21-12, 11-21 pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou, China.
Zii Jia berkata, Naraoka ketika ini seorang pemain yang lebih stabil dan keadaan itu memberikan kelebihan buat bintang lawannya.
“Prestasinya (Naraoka) konsisten dan seperti yang kita tahu dia sangat bagus dalam rali dan bertahan. Dia kurang melakukan kesilapan mudah dalam gelanggang dan membuatkan dia sebagai pemain yang lebih baik dan lebih stabil.
“Jika tengok pemain Jepun yang lain, corak permainan mereka hampir sama tetapi apa yang membezakan mereka dengan Kodai adalah dia lebih stabil dan mengawal gelanggang dengan baik. Dia lebih yakin dengan apa yang dilakukannya sekarang.
“Saya pula, tiada apa yang positif. Apa yang saya boleh lakukan adalah terus berusaha lagi,” kata Zii Jia, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan Naraoka akan membuat perhitungan dengan pemenang perlawanan antara pemain Perancis, Toma Junior Popov menentang Lin Chun Yi dari Taiwan, bagi perebutan tiket ke suku akhir.
Naraoka hampir merangkul gelaran dunia pertama sebelum tewas dalam pertarungan tiga set di tangan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn pada aksi final kejohanan yang berlangsung di Copengahen, Denmark, bulan lalu.
Zii Jia pula akan meneruskan misi untuk melonjakkan semula prestasinya dengan menyertai Terbuka Hong Kong yang bermula dari 12 hingga 17 September ini, dengan membuka tirai kempen di Hong Kong menentang pemain China, Zhao Jun Peng di pusingan pertama.