PEMAIN badminton perseorangan utama negara, Lee Zii Jia yakin jaguh Jepun Kento Momota mampu bangkit dan kembali pada prestasi sebenar.

Zii Jia mengakui kalah menang adalah adat dalam pertandingan badminton namun perlu segera belajar dan menjadi lebih baik dari sebelumnya.

“Saya rasa kadangkala kita menang kadangkala kita kalah, buat masa ini dia belum mendapat rentak permainannya namun yakin dia mampu bangkit lebih kuat,” ujarnya.

Ia susulan kekalahan mengejut bekas pemain No. 1 dunia itu kepada Zii Jia dalam pertarungan berat sebelah yang menyaksikan Lee Zii Jia menang mudah 21-17, 21-8 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan D, Piala Thomas 2022.

Situasi sama pernah dialami Zii Jia dalam kejohanan badminton Terbuka Denmark 2021 yang menyaksikan Zii Jia hilang fokus meskipun mendahului pada set kedua namun dia tewas kepada Viktor Axelsen dalam peringkat suku akhir kejohanan tersebut.

Skuad Piala Thomas negara akan bertemu India pada peringkat suku akhir malam ini di Impact Arena, Bangkok, Thailand.

Pemenang perlawanan itu akan bertemu Denmark ataupun Korea Selatan yang turut bertarung dalam satu lagi aksi suku akhir.