PERTEMBUNGAN terakhir peringkat kumpulan B antara Malaysia menentang Taiwan esok (Khamis) dalam kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, bukan perjuangan Lee Zii Jia semata-mata , sebaliknya seluruh pasukan.

Persorangan nombor satu negara itu, yakin jika Taiwan tidak terlalu bergantung kepada Chou Tien Chen lagi, situasi sama juga di kem negara.

“Sekarang Malaysia juga tak bergantung kepada Lee Zii Jia sahaja, kita ada (Ng) Tze Yong, (Leong) Jun Hao… saya rasa kita juga menunjukkan kemajuan dan tidak ketinggalan berbanding mereka.

Lee Zii Jia yakin mana-mana pemain negara mampu menyumbang mata.

“Di atas kertas, saya rasa peluang yang setara tetapi kita mempunyai kelebihan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik,” kata Zii Jia, mengulas mengenai perlawanan penentuan juara kumpulan B menentang Taiwan.

Taiwan tidak membawa Tien Chen untuk aksi kali ini kerana yakin, dengan barisan pemain perseorangan lelaki terutama pemain mudanya, Lin Chun Yi.

Menurut Zii Jia, meskipun Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menganggap Taiwan sebuah pasukan yang mempunyai strategi hampir sama dengan skuad negara dalam acara berpasukan, namun percaturan pasukan lawan mudah dibaca.

Pasukan negara mempunyai barisan pemain perseorangan lelaki yang setara kehebatan seperti Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao.

“Bagi saya kita sudah boleh tahu pemain mana yang akan mereka turunkan.

“Dua tahun kebelakangan ini, Lin Chun Yimempamerkan prestasi yang baik dan saya pasti, dia akan menjadi lawan sukar buat saya, apa lagi pertemuan terakhir, saya tewas,” ujar Zii Jia lagi.

Berdasarkan rekod pertemuan antara Zii Jia menentang Chun Yi, masing-masing memenangi satu perlawanan namun perseorangan profesional negara itu tewas pada pertemuan terakhir di Malaysia Masters, Mei tahun lalu, dalam pertarungan rubber set.

Leong Jun Hao juga mampu menjadi prospek penyumbang mata yang baik sebagai perseorangan ketiga.

Mengulas mengenai latihannya di Korea minggu lalu, Zii Jia berkata dia sekadar mencari angin baru dan tidak mungkin dalam tempoh singkat, corak permainannya boleh diubah kepada sesuatu yang berbeza.

“Saya tidak fikir latihan singkat di Korea Selatan boleh memberikan peningkatan prestasi yang ketara tetapi ianya menjadi peluang untuk saya mempelajari perkara baharu.

“Tambahan pula Korea melahirkan dua juara dunia baharu, jadi saya dapat melihat dan mengikuti apakah rutin latihan mereka.

Perlawanan pemanas badan amat penting bagi Lee Zii Jia sebelum menghadapi lawan lebih sukar.

“Di sana, mereka ada 6 hingga 8 pemain perseorangan dan memberikan saya ralan sepelatih yang bervariasi, malah ada juga pemain tangan kidal, satu pengalaman berharga untuk saya,” kata Zii Jia.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Dimitry Panarin yang berkesudahan 21-11, 21-10 memihaknya, dia berkata: “Pemain lawan bukan tak boleh main, tapi untuk diri saya, saya tetap perlu beraksi pada perlawanan agak mudah sebelum perlawanan sukar.

“Jika orang lain, mungkin terus boleh menentang pemain yang hebat tapi saya lebih gemar berdepan lawan mudah terlebih dahulu.”