PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melakukan siasatan secara menyeluruh termasuk mengenalpasti jika terdapat unsur luar yang mempengaruhi keputusan pengadil pada perlawanan kontroversi antara Sabah FC dan Penang FC di Stadium Likas.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan masalah yang dialami para pengadil adalah subjektif sekaligus menuntut pihaknya untuk melihat daripada kesemua aspek sebelum apa-apa tindakan dikenakan.
Pengadil perlawanan itu, Zulkarnain Zakaria digantung tugasan sepanjang musim 2023 ini selepas Jawatankuasa Penilaian Pengadil mendapati ada berlaku kekhilafan dalam keputusan yang menyaksikan dua sepakan penalti diberikan kepada Sabah FC.
“Kita akan lakukan siasatan dengan jawatankuasa penilai akan melihat dan memanggil pengadil itu dan kemudian mungin ada tindakan susulan. Kita tidak boleh sampai menghukum terlalu awal kerana langkah seterusnya akan diambil oleh jawatankuasa pengadil.
“Kita sentiasa memerhatikan pengadil dan ambil tindakan sewajarnya. Ianya subjektif kerana kita tidak tahu kalau hari ini bagus, esok jadi berbeza. Seperti kes baru baru ini, kita lihat ada kelemahan membabitkan keputuan yang tidak tepat. Hendak dapatkan 100 peratus pengadilan terbaik, di Piala Dunia pun kita tidak dapat.
“Kita kena adil pada pengadil tetapi salah tetap salah. Dua aspek yang perlu diperhatikan ialah kemungkinan ianya perkara di luar dugaan ataupun prestasi mereka sendiri yang lemah,” katanya pada sidang media di Wisma FAM pada Selasa
Hamidin juga berkata isu kelemahan pengadil bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi ianya turut terjadi di seluruh dunia dan mereka sentiasa memastikan pengadil berada pada tahap terbaik.
Atas sebab itu, FAM dan MFL mahu melaksanakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam Liga Malaysia dan langkah pertama yang dilakukan FAM adalah menghantar 30 pengadil dan pembantu pengadil untuk menjalani latihan dan mendapatkan lesen VAR daripada Fifa.